KUALA LUMPUR: Pemuafakatan ditonjolkan 13 parti komponen sepanjang Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini memberi gambaran bahawa jentera BN sudah hampir bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Penganalisis politik, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata langkah berani BN untuk memenangi hati rakyat menerusi pendekatan inklusif membuka lembaran baru kepada parti itu menonjolkan perjuangan demi rakyat, bukannya untuk parti semata-mata.
Mengulas lima langkah transformasi yang diutarakan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Teo berkata langkah itu bakal menjadi pedoman kepada parti komponen untuk memperkukuhkan kedudukan masing-masing. “Saranan Muhyiddin supaya pemimpin parti komponen BN sedar akan cabaran yang perlu ditangani mereka kerana rakyat sudah bijak menilai baik buruk pemerintah dan mampu membuat perubahan,” katanya.
Penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Sarjit Singh, mencadangkan BN memilih calon muda, berpendidikan dan mempunyai integriti bagi mendekati rakyat untuk menghadapi PRU13. “Lebih elok jika BN memilih calon berusia lingkungan 40-an kerana jika terlalu berusia atau terlalu lama dalam arena politik, ia akan menjadi liabiliti kepada parti. “Ini kerana generasi muda sekarang tidak lagi berminat terhadap parti, sebaliknya faktor calon menjadi penentu kejayaan dalam pertandingan kelak,” katanya.
Sarjit turut mencadangkan Konvensyen BN diadakan lebih kerap kerana ia akan menjadi medan membuka minda parti komponen dan menonjolkan kekuatan BN. “Konvensyen adalah proses menzahirkan sebarang dasar dalam perjuangan parti kerana masih ada pemimpin parti yang tidak tahu akan dasar parti. “Bagaimana mereka mahu jelaskan kepada rakyat sekiranya mereka sendiri tidak faham dasar parti,” katanya
No comments:
Post a Comment