Friday, December 10, 2010

PKR Petualang Bangsa

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membangkitkan soal ketuanan Melayu untuk meraih keuntungan politik adalah punca utama menyebabkan isu itu kembali hangat dibincangkan.

Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin parti itu yang beliau sifatkan sebagai mempunyai sifat perkauman, sengaja membangkitkan isu berkenaan semata-mata bagi mendapat sokongan daripada golongan tertentu.

‘‘Isu ini mula tercetus apabila ada pihak yang mula mempersoalkan kedudukan orang Melayu di negara ini. Jika tiada siapa menimbulkan perkara ini, orang Melayu tidak akan menjawab dan mempertahankan hak mereka.
‘‘Malangnya, apabila orang Melayu menjawab, mereka dituduh sebagai melanggar hak asasi manusia dan bersifat perkauman manakala pihak yang mempersoalkan ketuanan Melayu pula tidak dilabelkan dengan gelaran sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada program Hari Inovasi Ideapreneur Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2010 di Taman Teknologi Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Ditanya gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya penggunaan istilah ketuanan Melayu diharamkan di negara ini, Dr. Mahathir berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan orang Melayu bertindak balas.

‘‘Apabila kamu mula meminta perkara ini dan itu diharamkan, pihak lain juga akan membuat tuntutan supaya perkara yang tidak menyenangi mereka turut dikenakan tindakan sama.
‘‘Ini hanya akan menimbulkan konflik antara kedua-kedua belah pihak. Bagi saya permintaan seperti ini seeloknya tidak dijawab kerana kebanyakannya adalah tidak logik dan tiada sebarang asas,” katanya.

Mengenai titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini bahawa sebarang suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu adalah perbuatan menderhaka kepada kaum sendiri, beliau berkata, terpulang kepada orang ramai untuk memikirkan tentang nasihat baginda itu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, laporan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bertajuk Laporan Hak-Hak Politik dan Awam 2010 yang diumumkan hari ini yang mengkritik era kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, adalah bermotifkan politik.

‘‘Jika Suaram prihatin dengan hak asasi manusia mereka tidak harus memberi tumpuan kepada Malaysia sahaja sebaliknya perlu juga mengkritik pencabulan sama di negara lain termasuk terhadap pihak yang membunuh penduduk Gaza.

‘‘Nampaknya mereka tidak berbuat demikian dan ini bermakna pandangan Suaram bukan yang terbaik.
‘‘Bagi saya mereka juga melanggar hak asasi manusia apabila tidak menghiraukan ahli politik dan negara tertentu yang turut mencabul hak asasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment