KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyifatkan orang Melayu yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini sebagai penderhaka kepada bangsa sendiri.
“Adalah menjadi satu penghinaan dan derhaka kepada bangsa sendiri jika perbuatan itu dilakukan orang Melayu sendiri dan lebih malang kepada agama serta bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan atau diubah faktanya.“Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka.
Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggungjawab kepada agama dan bangsa, selain memastikan wasiat itu terus dijunjung.“Umat Islam dan orang Melayu jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit kerana dibimbangi nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan dikepuk dan itik kehausan di air,” titah baginda merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.
Sultan Azlan bertitah, keistimewaan dinikmati umat Islam hari ini bukan datang dengan mudah kerana status agama Islam di negara ini mempunyai sejarah lama. “Ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan daripada akidah Islam dibina menerusi mekanisme secara perundangan bertujuan melindungi ummah daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.“Sedarilah, bahawa segala keistimewaan yang dimiliki umat Islam di negara ini adalah hasil pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan umat Islam sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan saja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara,” titahnya.
Titah baginda, keistimewaan hari ini turut diperoleh menerusi kesepakatan dan penyatuan daripada prinsip perjuangan serta suara tuntutan umat Islam dari seluruh Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan dalam Perlembagaan Negara.“Keistimewaan itu dapat dikekalkan jika ia terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salasilah langit yang sedang dijunjung,” titah baginda.
Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Anugerah Khas Maal Hijrah 1432H, masing-masing kepada Megat Riduan Megat Taib, 76, dan Allahyarham Datuk Mohd Yusop Yahya, 62.
Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru masyarakat Islam supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kehancuran ummah itu sendiri.“Justeru itu, beta amat dukacita sekiranya ada rakyat beta yang cuba menggunakan ajaran Islam untuk kepentingan diri terutama yang membuat tafsiran sendiri.“Ini termasuk mereka yang menggunakan Islam sebagai senjata untuk merosakkan umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan kekeliruan dan menimbulkan perasaan tidak selesa kepada umat Islam,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1432H Peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, semalam.Sultan Abdul Halim menyeru umat Islam supaya sentiasa memupuk semangat berkasih sayang di antara satu sama lain kerana jika sifat mulia ini hilang, musuh Islam pasti akan mengambil kesempatan untuk merosakkan umat Islam.
Di KUANTAN, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan baru-baru ini.“Saya tidak perlu memberi pandangan panjang lebar kerana sudah disentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini. Saya sokong baginda (Sultan Selangor) atas isu itu," titah baginda ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.Ditanya sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu, Sultan Ahmad Shah berkata ia terpulang kepada persetujuan lapan Raja Melayu yang terbabit.Pada majlis itu, bekas Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, 65, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Pahang.
Di KANGAR, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bimbang dengan pertelagahan di kalangan umat Islam sejak akhir-akhir ini, yang dikhuatiri menyebabkan perpaduan menjadi goyah.Justeru, baginda menyeru semua golongan berpengaruh di negara ini memainkan peranan mereka dengan bertindak sebagai pendamai dan penggerak kepada penyatuan ummah."Sebagai umat Islam, kita harus sedar akan kepentingan aspek perpaduan untuk menikmati kehidupan sejahtera, di samping memperkukuhkan lagi kedudukan agama, bangsa dan negara dalam suasana kepelbagaian kaum dan kepercayaan,” titah baginda pada Majlis Perhimpunan dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini, semalam.
Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu semua pihak menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam yang bersatu padu atas kalimah tauhid demi merealisasikan status sebagai 'khaira ummah'.Titah baginda, sudah tiba masanya umat Islam bermuhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan diamalkan ketika ini, seterusnya melakukan penghijrahan lebih baik."Kita perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar ini tidak berjaya dicapai tanpa semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan umat Islam” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan di Balai Islam di sini, malam kelmarin.Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat Nik Aziz diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1432H, manakala Ridhuan Foo Abdullah, 53, diumumkan penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita
No comments:
Post a Comment