MARAN - Rakyat diminta tidak terjebak dengan aliran politik sempit dan berbahaya yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini. Setiausaha Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBCC), Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, perkara itu disedari apabila terdapat pihak tertentu yang ghairah mempersoalkan perkara yang dipersetujui dalam Perlembagaan Negara termasuk berkaitan Perkara 153.
Menurutnya, lebih malang lagi ada dari kalangan orang Melayu yang mempersoalkan perkara itu sedangkan ia digubal untuk mempertahankan hak dan keistimewaan masyarakat kaum tersebut. ‘‘Orang Melayu perlu rasional menyokong mana-mana parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tertentu bagi mengelakkan mereka dijadikan batu loncatan untuk mencapai cita-cita songsang pihak lain. ‘‘Sudah sampai masanya orang Melayu celik dari ‘tidur di siang hari’ mempertahankan hak dan kedudukan yang ada kerana kesilapan generasi sekarang akan ditanggung oleh anak cucu pada masa akan datang,‘‘ katanya kepada Sinar Harian.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, ada orang Melayu tidak menyedari mereka diperalatkan pihak lain berikutan sikap mereka yang tidak mengambil kisah akan agenda yang mempunyai matlamat tertentu. Menurutnya, orang Melayu perlu proaktif dan sensitif tentang isu yang dibangkitkan mengenai negara, bangsa dan agama oleh pihak lain terutama jika ia menyentuh masa depan negara. “Pemimpin Melayu yang diterajui UMNO akan terus mempertahankan kemakmuran yang dinikmati semua enik di negara ini bukan sahaja orang Melayu tetapi juga Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Melanau dan sebagainya. “Ini terbukti setiap kaum menikmati pelbagai kemajuan dan kek ekonomi negara mengikut kemampuan masing-masing tanpa sekatan atau halangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment