Thursday, December 15, 2011

Tangani masalah jenayah

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah ganas termasuk rompakan bersenjata, rogol dan bunuh perlu dilihat serius bukan hanya oleh pihak berkuasa dan kehakiman, tetapi juga oleh penentu dasar kerajaan, ibu bapa dan masyarakat.
Malah, keadaan ekonomi yang buruk dikatakan menyebabkan lebih ramai masyarakat hilang pekerjaan dan tertekan, sekali gus menyumbang peningkatan kes jenayah walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membanterasnya.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya berpendapat penagihan dadah menjadi punca utama berlakunya kejadian jenayah membabitkan kes ragut dan pecah rumah.
“Mencegah dan melakukan kajian terhadap jenayah dilakukan remaja adalah penting daripada menuding jari menyalahkan pihak tertentu.
“Masalah penagihan dadah boleh diatasi sekiranya kita dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan seperti berniaga secara kecil-kecilan atau berjaja bagi menangani kesan kegawatan ekonomi kerana sebahagian masyarakat cenderung melakukan jenayah kerana desakan hidup,” katanya.
Menurutnya, punca dan cara membanteras jenayah perlu dikenal pasti bagi memastikan ia dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Malah, ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan terhadap perkembangan penyakit sosial dan perlu membimbing anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam jenayah.

“Sekiranya peningkatan jenayah adalah satu harga yang perlu dibayar untuk kemajuan dan pembangunan, maka masyarakat perlu mengikis aspek negatif pembangunan ini.
“Kebimbangan utama kita ialah wujudnya pelbagai penyakit sosial yang menimpa remaja, maka sejak kecil anak-anak perlu dilentur dan diajar membezakan antara yang baik dan buruk,” katanya. Menurutnya bimbingan ibu bapa penting terutama pada peringkat pembelajaran dengan menerapkan formula keluarga sihat adalah asas utama dalam pembentukan kanak-kanak yang gembira, berfikiran kritis dan mempunyai harga diri.

No comments:

Post a Comment