Thursday, December 15, 2011

AUKU..relevan atau tidak?

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Draf pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, kementerian, melalui Jawatankuasa Pindaan AUKU, akan mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pihak universiti berhubung cadangan pindaan kepada Seksyen 15 AUKU 1971 itu sebelum draf tersebut disiapkan sebelum akhir bulan depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, jawatankuasa ini bertujuan mendapatkan pandangan institusi pengajian tinggi (IPT) dan akan melihat AUKU secara keseluruhan berikutan cadangan meminda Seksyen 15 bagi memastikan seksyen lain di dalam AUKU adalah selari dengan cadangan pindaan.
Langkah itu, katanya, bagi memastikan pindaan AUKU adalah selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10 mengenai hak-hak bersuara, berpersatuan dan berkumpulan secara aman.
Seksyen 15 AUKU 1971 menyebut pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atau diluluskan oleh Naib Canselor.
Khaled berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meminda AUKU dengan menekankan kepada dua prinsip iaitu membenarkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti serta parti politik di luar kampus, dan mengekalkan kampus sebagai entiti yang bebas daripada aktiviti politik kepartian. – Bernama

Serta SRS bagi menjaga keselamatan taman anda

LUMUT 11 Dis. - Kakitangan awam dan swasta yang menjalankan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bakal menikmati ganjaran cuti separuh hari mulai Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, bagi melaksanakan langkah tersebut, kerajaan sedang menggubal akta baru untuk Rukun Tetangga dan SRS bagi memperluaskan fungsi dan skop kedua-dua sistem tersebut.
Menurut beliau, draf cadangan itu akan dirujuk ke Kabinet pada bulan depan sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan pada Mac depan.
"Mengikut draf cadangan itu, kakitangan awam atau swasta yang menyertai SRS akan menikmati cuti rehat separuh hari dan mereka akan masuk bekerja semula selepas waktu rehat tengah hari.
"Kita yakin dengan cadangan itu, ia akan menarik lebih ramai rakyat untuk menyertai SRS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pusat Aktiviti Rukun Tetangga/Tabika Perpaduan Kampung Baru Changkat Keruing di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hasan dan Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Chang Ko Youn.
Dalam pada itu, Tsu Koon berkata, langkah mewujudkan akta baru tersebut adalah selaras dengan perkembangan semasa selain penggubalannya dibuat berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat 1969.

Rancang awal persekolahan

SESI persekolahan di seluruh negara bermula hari ini selepas murid bercuti hampir sebulan setengah. Di sesetengah negeri, sesi persekolahan bermula Ahad (semalam) manakala sesetengah negeri pula Isnin.
Sejak seminggu lalu kita dapat melihat gedung beli-belah dikunjungi ibu bapa yang sibuk membeli pakaian dan peralatan anak-anak mereka.
Bagi yang baru memasuki alam persekolahan tentulah belanjanya tinggi kerana semuanya hendak dibeli baru terutamanya pakaian. Kalau yang sudah bersekolah, pasti ada pakaian dan peralatan lama yang masih boleh diguna pakai supaya dapat mengelak pembaziran.
Kita mesti memahami setiap tahun bilangan murid di negara kita semakin bertambah, tidak kira sama ada murid sekolah rendah mahupun menengah. Pertambahan itu tentunya memerlukan tambahan bangunan, sekolah dan bilik darjah untuk belajar.
Apa yang membimbangkan jika ada murid yang terpaksa belajar di kantin, stor, pusat sumber, makmal dan yang menyedihkan belajar di bawah pokok di kawasan sekolah.
Pengalaman lepas mestilah dijadikan iktibar oleh pihak berwajib supaya kejadian sama tidak berulang. Apa yang dibimbangi ialah jika masalah tidak cukup tempat terpaksa dipikul oleh murid sehingga seminggu dua persekolahan dijalankan.


Semua ini akan kita ketahui apabila sekolah mula dibuka pada minggu pertama. Tetapi jika semua perancangan dilakukan dengan teliti, masalah tidak akan berlaku dan sesi persekolahan akan berjalan lancar.
Seperti biasa, selain masalah tempat belajar, masalah lain yang bakal digembar-gemburkan ialah soal yuran. Seperti apa yang telah ditetapkan oleh sekolah dan kementerian, tidak semua yang bersetuju dengan kadar yuran yang ditetapkan.

Jumlah yuran dan tarikh yuran itu mesti dibayar sepenuhnya tetap menjadi rungutan ibu bapa atau penjaga. Kelonggaran diberikan agar yuran dibayar secara berperingkat dikatakan dapat meringan bebanan ibu bapa tetapi ada juga masalah lain yang menjadi rungutan mereka, terutamanya yuran yang dianggap tidak perlu.
Di luar sekolah pula, ibu bapa pula akan merungut soal kos pergi balik anak mereka ke sekolah. Ada sesetengah pengusaha bas akan menaikkan kadar tambang. Semua ini juga akan dapat didengar pada minggu pertama sesi persekolahan bermula.
Selalunya, alasan diberikan pengusaha bas ialah kos penyelenggaraan semakin meningkat, kos hidup semakin tinggi dan pelbagai alasan lain yang sukar diterima tetapi akhirnya terpaksa dipatuhi oleh ibu bapa.
Bagi ibu bapa yang tidak ada masa untuk menghantar anak ke sekolah dan menjemput mereka pulang, mahu atau tidak bas sekolah menjadi alternatifnya. Apapun yang dirungutkan, mereka terpaksa tunduk kepada tuntutan pengusaha bas memandangkan mereka mempunyai tugas lebih penting daripada memikirkan soal kenaikan harga tambang.
Rumusan daripada perkara tadi ialah dalam soal pendidikan ibu bapa tidak semestinya berkira sangat dalam hal kewangan. Pendidikan itu lebih penting daripada segala-galanya. Ibu bapa yang memahami hal ini sanggup berbuat apa saja asalkan anak mereka boleh bersekolah hingga ke peringkat tinggi Apapun, pada masa sama, ramai yang memahami bahawa tidak semua ibu bapa yang mampu atau dikategorikan sebagai orang berada. Ada yang sampai berhutang semata-mata mahu memastikan anak mereka dapat bersekolah seperti anak orang lain.
Jalan pintas pada segala masalah ini bergantung kepada sikap dan disiplin ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa mestilah bijak menyusun atur urusan hidup terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah. Paling penting ialah mereka mestilah merangka belanjawan untuk persekolahan anak-anak.
Contohnya, tabungan khas untuk membiayai segala kos yang perlu ditanggung oleh mereka perlulah disediakan awal-awal lagi dan bukannya bergolok-bergadai pada saat-saat terdesak atau ketika sekolah hampir dibuka.
Ibu bapa yang prihatin mengenai masalah ini akan menyediakan tabungan khas untuk persekolahan anak-anak tidak kira masa termasuklah belanja pada awal tahun yang selalunya menelan kos tinggi.
Ibu bapa yang beringat tidak akan membawa kepada amalan berhutang semata-mata untuk menyekolahkan anak. Ibu bapa yang faham tentang peri pentingnya pendidikan dan masa depan anak-anak akan lebih selamat jika dibandingkan dengan mereka yang terkial-kial mencari belanja persekolahan pada saat akhir.
Malah, bagi ibu bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka akan menyediakan tabungan lebih khusus termasuk tabung untuk buku latihan, peralatan menulis, pakaian, buku tambahan termasuk bahan bacaan luar supaya anak-anak mendapat pendidikan selesa.
Pada masa sama, ibu bapa mestilah menyedari bahawa kos persekolahan bagi setiap anak akan meningkat dari setahun ke setahun. Malah, setiap peningkatan usia anak mereka, belanja persekolahan juga meningkat. Bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan pula terpaksa membeli lebih banyak bahan bacaan tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Ibu bapa yang prihatin dengan masa depan anak-anak dan memahami pentingnya pendidikan akan berusaha dengan lebih cekal dan bijak untuk menangani segala situasi sebelum anak-anak mereka bersekolah.

Tangani masalah jenayah

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah ganas termasuk rompakan bersenjata, rogol dan bunuh perlu dilihat serius bukan hanya oleh pihak berkuasa dan kehakiman, tetapi juga oleh penentu dasar kerajaan, ibu bapa dan masyarakat.
Malah, keadaan ekonomi yang buruk dikatakan menyebabkan lebih ramai masyarakat hilang pekerjaan dan tertekan, sekali gus menyumbang peningkatan kes jenayah walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membanterasnya.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya berpendapat penagihan dadah menjadi punca utama berlakunya kejadian jenayah membabitkan kes ragut dan pecah rumah.
“Mencegah dan melakukan kajian terhadap jenayah dilakukan remaja adalah penting daripada menuding jari menyalahkan pihak tertentu.
“Masalah penagihan dadah boleh diatasi sekiranya kita dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan seperti berniaga secara kecil-kecilan atau berjaja bagi menangani kesan kegawatan ekonomi kerana sebahagian masyarakat cenderung melakukan jenayah kerana desakan hidup,” katanya.
Menurutnya, punca dan cara membanteras jenayah perlu dikenal pasti bagi memastikan ia dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Malah, ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan terhadap perkembangan penyakit sosial dan perlu membimbing anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam jenayah.

“Sekiranya peningkatan jenayah adalah satu harga yang perlu dibayar untuk kemajuan dan pembangunan, maka masyarakat perlu mengikis aspek negatif pembangunan ini.
“Kebimbangan utama kita ialah wujudnya pelbagai penyakit sosial yang menimpa remaja, maka sejak kecil anak-anak perlu dilentur dan diajar membezakan antara yang baik dan buruk,” katanya. Menurutnya bimbingan ibu bapa penting terutama pada peringkat pembelajaran dengan menerapkan formula keluarga sihat adalah asas utama dalam pembentukan kanak-kanak yang gembira, berfikiran kritis dan mempunyai harga diri.

Bahana pendatang asing

KEBANJIRAN pendatang asing yang menyumbang pelbagai masalah sosial dan keselamatan sudah lama menghantui kita hingga sampai ke satu tahap, kita tidak lagi berasa selesa serta selamat walaupun di negara sendiri.


Fokus kini tertumpu kepada aktiviti salah laku dan perlanggaran undang–undang yang semakin menjadi-jadi dilakukan pendatang dari Afrika.


Dua insiden yang berlaku baru-baru ini memperkukuhkan lagi kegusaran yang dimaksudkan. Dalam insiden pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL), polis menembak mati seorang keldai dadah warga Nigeria yang mengamuk dan mengancam keselamatan pekerja hospital dan pesakit.


Ini disusuli dua hari kemudian dengan insiden di sebuah penempatan ‘Mini Afrika’ berhampiran sebuah kolej swasta di Mantin, Negeri Sembilan, dengan kira-kira 200 Awang Hitam secara agresif membantah dan mengepung pihak penguat kuasa kerana tidak berpuas hati tindakan menahan beberapa rakan mereka atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di Malaysia.Insiden terbabit tidak langsung membayangkan status sebenar dan niat mereka memasuki Malaysia sebagai pelajar. Dasar imigresen yang longgar antara faktor menyumbang berlakunya pelbagai masalah sosial dan keselamatan serta dibawa masuk ‘pelancong’. Situasi seperti ini tidak harus dibiarkan berpanjangan dan apa yang diperlukan segera adalah perencanaan semula.


WMRAMLI Hulu Klang, Selangor


________________________________________________________________

KOMEN KOI..


Bile pk2 balik mmg ada betulnya..di manakah penguatkuasaan imegresen selaku penguatkuasa yang menjaga sempadan Negara? sepatutnya mereka memperketatkan sempadan Negara kita bagi mengelakkan kemasukan pendatanga sing yang ramai dan mendatangkan bahaya kepada Negara..

FELDA tetap utuh..

PEKAN: Kerajaan memberi jaminan peneroka FELDA tidak akan kehilangan tanah dan semua insentif seperti pembayaran dividen, bonus dan duit raya yang diterima ketika ini selepas FELDA Global Venture Holdings (FGVH) disenaraikan di Bursa Malaysia Jun tahun depan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata peneroka tidak perlu bimbang mengenai perkara itu kerana kerajaan sentiasa melindungi kepentingan peneroka.


Sambil mengakui ada kekhuatiran di kalangan peneroka mengenai perkara itu, beliau menjelaskan semua kelebihan yang sudah diperoleh peneroka akan terus dinikmati pada masa akan datang.


“Kita akan pastikan mereka tidak rugi (dengan penyenaraian FGVH) malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan. Apa yang peneroka dapat sebelum ini kita beri jaminan mereka masih memperolehnya. “Mengenai kebimbangan peneroka akan hilang pemilikan tanah... sebenarnya kita tidak akan sentuh walau segenggam tanah mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Felda Chini, dekat sini, semalam.


Ahmad berkata, kerajaan tidak akan membabitkan kira-kira 500,000 hektar ladang milik peneroka dalam proses penyenaraian itu dan kekal menjadi milik mereka. Bagaimanapun katanya, ia akan membabitkan tanah ladang milik mereka yang diuruskan FELDA Plantations ketika ini yang berkeluasan 360,000 hektar melalui kaedah pajakan kepada FVGH. “Ini belum keputusan akhir... ia masih di peringkat penelitian dan perbincangan kerana kita masih ada masa sebelum penyenaraian pertengahan tahun depan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan sentiasa menimbang segala tindakan berhubung proses penyenaraian FGVH bagi memastikan kepentingan peneroka, FELDA dan negara tidak terjejas. Mengenai maklum balas yang diterima pihaknya berhubung penyenaraian itu, Ahmad berkata, warga peneroka sebahagian besarnya memahami faedah daripada proses penyenaraian itu.


Friday, December 10, 2010

PKR sudah goyah...

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berubah menjadi lebih baik kerana parti berkenaan adalah hak milik mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said berkata, pemilihan parti itu baru-baru ini jelas menunjukkan muka-muka baru yang berjaya menjawat jawatan tertinggi adalah mereka yang mahu mengikut kehendak Anwar.

‘‘Kemenangan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar Nurul Izzah dilihat sebagai pilihan Anwar yang tidak akan tercabar oleh mana-mana pihak.
‘‘Yang menjadi persoalan adakah mereka ini berani untuk melakukan perubahan seperti yang diuar- uarkan mereka atau hanya mampu menjadi pak turut kepada ‘tuan’ PKR (Anwar),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pemilihan lalu juga telah menunjukkan hanya calon yang menjadi pilihan Anwar sahaja yang menang dengan jumlah pengundi yang keluar tidak sampai 10 peratus.
‘‘ Jika Nurul, Azmin dan Tian Chua tidak membawa nama Anwar pasti mereka akan tewas dengan teruk.
‘‘Jumlah ahli keluar mengundi yang amat rendah juga menunjukkan mereka tidak mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Saidatul Badru berkata, ramai rakan-rakan lama yang masih berada di dalam PKR sekarang sudah sedar akan kelemahan dan keburukan parti itu yang diterajui Anwar.
Tambahnya, Anwar akan melakukan apa sahaja bagi mencapai apa yang dihajati tanpa mengambil peduli kesan yang bakal timbul.

‘‘Sebab itu, ramai pemimpin kanan telah keluar parti itu seperti bekas calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Noor kerana kecewa dengan keadaan tersebut,” katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: