Thursday, December 15, 2011

1 Kedai 1Malaysia 1 Daerah

BERA: Kerajaan menyasarkan satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk satu daerah di seluruh negara menjelang hujung tahun depan dan bagi tujuan itu, orang ramai akan diberi peluang memiliki kedai berkonsepkan harga rendah itu bermula bulan depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan KR1M boleh mendapatkan borang di pejabat KPDNKK di tempat masing-masing yang akan mula dikeluarkan pada Januari depan.
“Bagaimanapun mereka perlu memenuhi beberapa syarat yang akan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan, antaranya syarikat mereka mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Murni di Kompleks Rakan Muda, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembangunan 1Malaysia Berhad (1MDB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, sehingga hujung tahun depan, kerajaan akan membuka 85 KR1M di seluruh negara, selain akan membawa masuk beberapa produk lagi sebagai penambahan kepada 250 produk sedia ada dan proses pembukaan KR1M adalah berdasarkan tiga konsep.
“Pertama, pembukaan KR1M oleh kerajaan, namun diuruskan pihak Mydin (Mydin Mohamed Holdings Bhd) dan sehingga kini 18 KR1M dengan konsep itu sudah dibina di seluruh negara, manakala konsep kedua pula dengan membawa masuk produk KR1M ke kedai runcit sedia ada dan setakat ini 167 kedai runcit di seluruh negara sudah menjual produk KR1M.

“Manakala konsep ketiga pula yang akan diperkenalkan mulai tahun depan iaitu memberi peluang kepada orang ramai membuka KR1M dengan cara memohon melalui KPDNKK mengikut syarat tertentu,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan bantuan kewangan dan bekalan makanan berkhasiat kepada 1,178 Orang Asli di sekitar daerah ini serta bantuan keperluan sekolah kepada 576 murid sekolah anak Orang Asli dalam program anjuran Yayasan 1MDB itu.

PUNB agih RM15 juta kepada usahawan bumiputera

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) telah mengagihkan RM15 juta kepada usahawan bumiputera setakat 30 November 2011, menerusi program Prosper Teras, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Program Prosper Teras yang diperkenalkan Julai lepas, dengan peruntukan RM30 juta, bertujuan membangunkan usahawan Bumiputera berdaya maju. - BERNAMA

Badan Keselamatan dipertingkatkan bagi menjaga keamanan Negara

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 40,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) disediakan di seluruh negara bagi mengurangkan peratusan kegiatan jenayah bermula 1 Januari tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, anggota berkenaan telahpun diberikan latihan untuk memulakan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga melalui rondaan.
"Sebagai permulaan, hari ini adalah hari pertama mereka membuat rondaan bagi kawasan Brickfields dan Damansara.
"Lebih 5,000 daripada anggota-anggota ini pula akan menjalankan rondaan bersama di seluruh kawasan Lembah Klang bermula tahun depan dalam kadar sekerap yang mungkin," katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Rondaan Bersama PDRM, JPAM dan Rela di sini, hari ini.
Beliau berkata, penggunaan alat elektronik juga merupakan salah satu cara mempertingkatkan lagi pengurangan kadar jenayah di negara ini.
"Melalui bajet (Belanjawan 2012) yang dikeluarkan Perdana Menteri, memang ada peruntukan untuk kamera CCTV. CCTV sedia ada akan dipasang semula secara berperingkat di setiap negeri mengikut kawasan-kawasan yang kami pilih terutama kawasan hotspot," katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula berkata, peratusan kebimbangan persepsi masyarakat terhadap jenayah sehingga Oktober lepas menunjukkan prestasi yang baik.
"Dua tahun lepas perasaan takut yang wujud di kalangan penduduk menunjukkan lebih kurang 58 peratus tapi tahun ini perasaan itu turun 48 peratus. Ini adalah sumber yang dikeluarkan dari TNS (syarikat yang dilantik oleh PDRM untuk mengkaji peratusan NKRA)," katanya.
Beliau berkata, JPAM dan Rela telah diberikan kuasa pasukan Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) yang sama seperti polis biasa untuk membuat tindakan dalam keadaan yang tertentu.
"Anggota Rela dan JPAM adalah aset PDRM untuk bekerjasama, mereka telah dilatih untuk mengawal lalu lintas dan membantu mencegah jenayah.
"Dalam kuasa ini saya telah diberi kuasa di bawah Akta Polis iaitu memberikan anggota Rela dan JPAM sebagai kuasa PVR kerana Akta Polis telah menyatakan saya sebagai Ketua Polis Negara boleh memberi kuasa ini untuk mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih menyiasat mengenai kes seorang perompak ditembak mati oleh pengawal keselamatan dalam rompakan di sebuah bank di Pandan Indah, Ampang semalam, untuk menentukan sama ada suspek adalah seorang anggota tentera kerana dia menggunakan senjata api jenis Steyr (sama jenis dengan yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia) dalam rompakan itu.
"Setakat ini kami tengah siasat latar belakang suspek tersebut sama ada dia mempunyai asas daripada sudut penggunaan senjata api yang dimilikinya dan melaluinya baru kami boleh menyiasat dari mana datangnya senjata tersebut," katanya.
Semalam, seorang perompak yang mengambil masa 10 minit melakukan rompakan di sebuah bank ditembak di bahagian belakang kepala dari jarak 50 meter oleh seorang pengawal keselamatan dengan pump gun semasa suspek hendak melarikan diri. - BERNAMA

keadaan banjir di Pahang (Kuantan) pulih..

KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang semakin pulih apabila hanya 30 mangsa sahaja masih ditempatkan di dua daerah yang terlibat.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata dua daerah yang masih terlibat ialah Kuantan dan Raub.
"Daerah Kuantan hanya melibatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Pahang manakala daerah Raub 23 orang daripada enam keluarga di Balai Raya Kampung Gali Tengah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata kesemua mangsa dijangka dibenarkan pulang hari ini selepas keadaan kembali pulih. - BERNAMA

PAS jangan jadi penasihat DAP

BUKIT MERTAJAM 14 Dis. - Pas diminta supaya tidak menjadi 'Biro Agama' untuk DAP kerana sering menjadi jurucakap kepada parti berkenaan di Pulau Pinang.
Peringatan itu disuarakan oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ir. Shaik Hussein Mydin kepada Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Mohd. Sany Hamzah yang menuduh UMNO menjadi dalang tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiahkan kek 'najis' kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini.
Menurut Shaikh Hussein, Pemuda UMNO tidak pernah menyokong, malah mengecam perbuatan yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Suara Anak-anak Malaysia Pulau Pinang (PSAMPP), Abdul Ghani Mohamed Jiman sebagai tidak bertamadun dan biadab.
"UMNO menganggap tindakan NGO itu satu tindakan biadab, jadi kami tidak pernah menyokongnya. Saya harap Mohd. Sany bertaubat dan meminta maaf di atas kenyataan itu atau terimalah tindakan undang-undang daripada kami," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohd. Sany yang dipetik menerusi sebuah portal berita yang menuntut UMNO Pulau Pinang supaya memohon maaf kepada Guan Eng dan kakitangan kerajaan negeri atas tindakan mereka menghadiahkan kek berupa najis manusia sempena hari kelahirannya baru-baru ini.
Jelas Sheikh Hussein lagi, tindakan yang diambil oleh NGO itu menunjukkan rakyat Pulau Pinang sudah muak dengan pentadbiran Guan Eng.
"UMNO tidak akan berjuang dengan cara menghantar kek seperti itu, tetapi kita menyerang Guan Eng secara berdepan melalui demonstrasi atau ceramah-ceramah.
"Jadi, Pas jangan jadi 'dayus' kerana menuduh sesuatu yang tidak berlandas fakta yang tepat dan saya harap Mohd. Sany memohon maaf kepada UMNO negeri," ujarnya.

PAS makin celaru

KUALA LUMPUR: Selepas membisu selama kira-kira enam bulan apabila gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar parti itu awal tahun ini, Nasharudin Mat Isa, semalam membidas golongan tertentu dalam parti yang disifatkannya mendahului Presiden dalam menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.


Masalah dalam PAS sekarang ialah terlalu ramai orang yang nak bercakap mengenai segala isu sedangkan bagi saya mereka tidak layak memberi kenyataan atau menyatakan pendirian parti. Akibatnya, perkara remeh menjadi besar apabila didedahkan dan ini menimbulkan pelbagai tanggapan serta spekulasi di kalangan umum. Senario beberapa hari kebelakangan ini mewujudkan persepsi baru terhadap PAS. - Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen Bachok

Banjir di Pahang

KUANTAN 12 Dis. – Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,652 orang dengan ditempatkan di 15 pusat pemindahan yang dibuka di daerah ini dan Rompin hari ini.
Bagaimanapun, pusat pemindahan di Pekan melibatkan 24 mangsa ditutup berikutan keadaan banjir di rumah mereka kembali surut.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang berkata, daerah ini mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,172 mangsa daripada 285 keluarga.
"Sehingga pukul 5.30 petang ini, jumlah mangsa banjir semakin bertambah dengan melibatkan 18 kampung di Kuantan dan empat kampung di Rompin.
"Justeru, sebanyak 11 pusat pemindahan di buka di Kuantan dan empat di Rompin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - Utusan