Thursday, December 15, 2011

Rancang awal persekolahan

SESI persekolahan di seluruh negara bermula hari ini selepas murid bercuti hampir sebulan setengah. Di sesetengah negeri, sesi persekolahan bermula Ahad (semalam) manakala sesetengah negeri pula Isnin.
Sejak seminggu lalu kita dapat melihat gedung beli-belah dikunjungi ibu bapa yang sibuk membeli pakaian dan peralatan anak-anak mereka.
Bagi yang baru memasuki alam persekolahan tentulah belanjanya tinggi kerana semuanya hendak dibeli baru terutamanya pakaian. Kalau yang sudah bersekolah, pasti ada pakaian dan peralatan lama yang masih boleh diguna pakai supaya dapat mengelak pembaziran.
Kita mesti memahami setiap tahun bilangan murid di negara kita semakin bertambah, tidak kira sama ada murid sekolah rendah mahupun menengah. Pertambahan itu tentunya memerlukan tambahan bangunan, sekolah dan bilik darjah untuk belajar.
Apa yang membimbangkan jika ada murid yang terpaksa belajar di kantin, stor, pusat sumber, makmal dan yang menyedihkan belajar di bawah pokok di kawasan sekolah.
Pengalaman lepas mestilah dijadikan iktibar oleh pihak berwajib supaya kejadian sama tidak berulang. Apa yang dibimbangi ialah jika masalah tidak cukup tempat terpaksa dipikul oleh murid sehingga seminggu dua persekolahan dijalankan.


Semua ini akan kita ketahui apabila sekolah mula dibuka pada minggu pertama. Tetapi jika semua perancangan dilakukan dengan teliti, masalah tidak akan berlaku dan sesi persekolahan akan berjalan lancar.
Seperti biasa, selain masalah tempat belajar, masalah lain yang bakal digembar-gemburkan ialah soal yuran. Seperti apa yang telah ditetapkan oleh sekolah dan kementerian, tidak semua yang bersetuju dengan kadar yuran yang ditetapkan.

Jumlah yuran dan tarikh yuran itu mesti dibayar sepenuhnya tetap menjadi rungutan ibu bapa atau penjaga. Kelonggaran diberikan agar yuran dibayar secara berperingkat dikatakan dapat meringan bebanan ibu bapa tetapi ada juga masalah lain yang menjadi rungutan mereka, terutamanya yuran yang dianggap tidak perlu.
Di luar sekolah pula, ibu bapa pula akan merungut soal kos pergi balik anak mereka ke sekolah. Ada sesetengah pengusaha bas akan menaikkan kadar tambang. Semua ini juga akan dapat didengar pada minggu pertama sesi persekolahan bermula.
Selalunya, alasan diberikan pengusaha bas ialah kos penyelenggaraan semakin meningkat, kos hidup semakin tinggi dan pelbagai alasan lain yang sukar diterima tetapi akhirnya terpaksa dipatuhi oleh ibu bapa.
Bagi ibu bapa yang tidak ada masa untuk menghantar anak ke sekolah dan menjemput mereka pulang, mahu atau tidak bas sekolah menjadi alternatifnya. Apapun yang dirungutkan, mereka terpaksa tunduk kepada tuntutan pengusaha bas memandangkan mereka mempunyai tugas lebih penting daripada memikirkan soal kenaikan harga tambang.
Rumusan daripada perkara tadi ialah dalam soal pendidikan ibu bapa tidak semestinya berkira sangat dalam hal kewangan. Pendidikan itu lebih penting daripada segala-galanya. Ibu bapa yang memahami hal ini sanggup berbuat apa saja asalkan anak mereka boleh bersekolah hingga ke peringkat tinggi Apapun, pada masa sama, ramai yang memahami bahawa tidak semua ibu bapa yang mampu atau dikategorikan sebagai orang berada. Ada yang sampai berhutang semata-mata mahu memastikan anak mereka dapat bersekolah seperti anak orang lain.
Jalan pintas pada segala masalah ini bergantung kepada sikap dan disiplin ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa mestilah bijak menyusun atur urusan hidup terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah. Paling penting ialah mereka mestilah merangka belanjawan untuk persekolahan anak-anak.
Contohnya, tabungan khas untuk membiayai segala kos yang perlu ditanggung oleh mereka perlulah disediakan awal-awal lagi dan bukannya bergolok-bergadai pada saat-saat terdesak atau ketika sekolah hampir dibuka.
Ibu bapa yang prihatin mengenai masalah ini akan menyediakan tabungan khas untuk persekolahan anak-anak tidak kira masa termasuklah belanja pada awal tahun yang selalunya menelan kos tinggi.
Ibu bapa yang beringat tidak akan membawa kepada amalan berhutang semata-mata untuk menyekolahkan anak. Ibu bapa yang faham tentang peri pentingnya pendidikan dan masa depan anak-anak akan lebih selamat jika dibandingkan dengan mereka yang terkial-kial mencari belanja persekolahan pada saat akhir.
Malah, bagi ibu bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka akan menyediakan tabungan lebih khusus termasuk tabung untuk buku latihan, peralatan menulis, pakaian, buku tambahan termasuk bahan bacaan luar supaya anak-anak mendapat pendidikan selesa.
Pada masa sama, ibu bapa mestilah menyedari bahawa kos persekolahan bagi setiap anak akan meningkat dari setahun ke setahun. Malah, setiap peningkatan usia anak mereka, belanja persekolahan juga meningkat. Bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan pula terpaksa membeli lebih banyak bahan bacaan tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Ibu bapa yang prihatin dengan masa depan anak-anak dan memahami pentingnya pendidikan akan berusaha dengan lebih cekal dan bijak untuk menangani segala situasi sebelum anak-anak mereka bersekolah.

No comments:

Post a Comment