Thursday, December 15, 2011

Serta SRS bagi menjaga keselamatan taman anda

LUMUT 11 Dis. - Kakitangan awam dan swasta yang menjalankan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bakal menikmati ganjaran cuti separuh hari mulai Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, bagi melaksanakan langkah tersebut, kerajaan sedang menggubal akta baru untuk Rukun Tetangga dan SRS bagi memperluaskan fungsi dan skop kedua-dua sistem tersebut.
Menurut beliau, draf cadangan itu akan dirujuk ke Kabinet pada bulan depan sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan pada Mac depan.
"Mengikut draf cadangan itu, kakitangan awam atau swasta yang menyertai SRS akan menikmati cuti rehat separuh hari dan mereka akan masuk bekerja semula selepas waktu rehat tengah hari.
"Kita yakin dengan cadangan itu, ia akan menarik lebih ramai rakyat untuk menyertai SRS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pusat Aktiviti Rukun Tetangga/Tabika Perpaduan Kampung Baru Changkat Keruing di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hasan dan Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Chang Ko Youn.
Dalam pada itu, Tsu Koon berkata, langkah mewujudkan akta baru tersebut adalah selaras dengan perkembangan semasa selain penggubalannya dibuat berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat 1969.

No comments:

Post a Comment