Thursday, December 15, 2011

1 Kedai 1Malaysia 1 Daerah

BERA: Kerajaan menyasarkan satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk satu daerah di seluruh negara menjelang hujung tahun depan dan bagi tujuan itu, orang ramai akan diberi peluang memiliki kedai berkonsepkan harga rendah itu bermula bulan depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan KR1M boleh mendapatkan borang di pejabat KPDNKK di tempat masing-masing yang akan mula dikeluarkan pada Januari depan.
“Bagaimanapun mereka perlu memenuhi beberapa syarat yang akan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan, antaranya syarikat mereka mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Murni di Kompleks Rakan Muda, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembangunan 1Malaysia Berhad (1MDB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, sehingga hujung tahun depan, kerajaan akan membuka 85 KR1M di seluruh negara, selain akan membawa masuk beberapa produk lagi sebagai penambahan kepada 250 produk sedia ada dan proses pembukaan KR1M adalah berdasarkan tiga konsep.
“Pertama, pembukaan KR1M oleh kerajaan, namun diuruskan pihak Mydin (Mydin Mohamed Holdings Bhd) dan sehingga kini 18 KR1M dengan konsep itu sudah dibina di seluruh negara, manakala konsep kedua pula dengan membawa masuk produk KR1M ke kedai runcit sedia ada dan setakat ini 167 kedai runcit di seluruh negara sudah menjual produk KR1M.

“Manakala konsep ketiga pula yang akan diperkenalkan mulai tahun depan iaitu memberi peluang kepada orang ramai membuka KR1M dengan cara memohon melalui KPDNKK mengikut syarat tertentu,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan bantuan kewangan dan bekalan makanan berkhasiat kepada 1,178 Orang Asli di sekitar daerah ini serta bantuan keperluan sekolah kepada 576 murid sekolah anak Orang Asli dalam program anjuran Yayasan 1MDB itu.

No comments:

Post a Comment