Friday, December 10, 2010

PKR sudah goyah...

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berubah menjadi lebih baik kerana parti berkenaan adalah hak milik mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said berkata, pemilihan parti itu baru-baru ini jelas menunjukkan muka-muka baru yang berjaya menjawat jawatan tertinggi adalah mereka yang mahu mengikut kehendak Anwar.

‘‘Kemenangan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar Nurul Izzah dilihat sebagai pilihan Anwar yang tidak akan tercabar oleh mana-mana pihak.
‘‘Yang menjadi persoalan adakah mereka ini berani untuk melakukan perubahan seperti yang diuar- uarkan mereka atau hanya mampu menjadi pak turut kepada ‘tuan’ PKR (Anwar),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pemilihan lalu juga telah menunjukkan hanya calon yang menjadi pilihan Anwar sahaja yang menang dengan jumlah pengundi yang keluar tidak sampai 10 peratus.
‘‘ Jika Nurul, Azmin dan Tian Chua tidak membawa nama Anwar pasti mereka akan tewas dengan teruk.
‘‘Jumlah ahli keluar mengundi yang amat rendah juga menunjukkan mereka tidak mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Saidatul Badru berkata, ramai rakan-rakan lama yang masih berada di dalam PKR sekarang sudah sedar akan kelemahan dan keburukan parti itu yang diterajui Anwar.
Tambahnya, Anwar akan melakukan apa sahaja bagi mencapai apa yang dihajati tanpa mengambil peduli kesan yang bakal timbul.

‘‘Sebab itu, ramai pemimpin kanan telah keluar parti itu seperti bekas calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Noor kerana kecewa dengan keadaan tersebut,” katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Rakyat jangan terjerat dengan politik sempit

MARAN - Rakyat diminta tidak terjebak dengan aliran politik sempit dan berbahaya yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini. Setiausaha Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBCC), Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, perkara itu disedari apabila terdapat pihak tertentu yang ghairah mempersoalkan perkara yang dipersetujui dalam Perlembagaan Negara termasuk berkaitan Perkara 153.
Menurutnya, lebih malang lagi ada dari kalangan orang Melayu yang mempersoalkan perkara itu sedangkan ia digubal untuk mempertahankan hak dan keistimewaan masyarakat kaum tersebut. ‘‘Orang Melayu perlu rasional menyokong mana-mana parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tertentu bagi mengelakkan mereka dijadikan batu loncatan untuk mencapai cita-cita songsang pihak lain. ‘‘Sudah sampai masanya orang Melayu celik dari ‘tidur di siang hari’ mempertahankan hak dan kedudukan yang ada kerana kesilapan generasi sekarang akan ditanggung oleh anak cucu pada masa akan datang,‘‘ katanya kepada Sinar Harian.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, ada orang Melayu tidak menyedari mereka diperalatkan pihak lain berikutan sikap mereka yang tidak mengambil kisah akan agenda yang mempunyai matlamat tertentu. Menurutnya, orang Melayu perlu proaktif dan sensitif tentang isu yang dibangkitkan mengenai negara, bangsa dan agama oleh pihak lain terutama jika ia menyentuh masa depan negara. “Pemimpin Melayu yang diterajui UMNO akan terus mempertahankan kemakmuran yang dinikmati semua enik di negara ini bukan sahaja orang Melayu tetapi juga Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Melanau dan sebagainya. “Ini terbukti setiap kaum menikmati pelbagai kemajuan dan kek ekonomi negara mengikut kemampuan masing-masing tanpa sekatan atau halangan,” katanya.

PKR Petualang Bangsa

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membangkitkan soal ketuanan Melayu untuk meraih keuntungan politik adalah punca utama menyebabkan isu itu kembali hangat dibincangkan.

Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin parti itu yang beliau sifatkan sebagai mempunyai sifat perkauman, sengaja membangkitkan isu berkenaan semata-mata bagi mendapat sokongan daripada golongan tertentu.

‘‘Isu ini mula tercetus apabila ada pihak yang mula mempersoalkan kedudukan orang Melayu di negara ini. Jika tiada siapa menimbulkan perkara ini, orang Melayu tidak akan menjawab dan mempertahankan hak mereka.
‘‘Malangnya, apabila orang Melayu menjawab, mereka dituduh sebagai melanggar hak asasi manusia dan bersifat perkauman manakala pihak yang mempersoalkan ketuanan Melayu pula tidak dilabelkan dengan gelaran sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada program Hari Inovasi Ideapreneur Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2010 di Taman Teknologi Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Ditanya gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya penggunaan istilah ketuanan Melayu diharamkan di negara ini, Dr. Mahathir berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan orang Melayu bertindak balas.

‘‘Apabila kamu mula meminta perkara ini dan itu diharamkan, pihak lain juga akan membuat tuntutan supaya perkara yang tidak menyenangi mereka turut dikenakan tindakan sama.
‘‘Ini hanya akan menimbulkan konflik antara kedua-kedua belah pihak. Bagi saya permintaan seperti ini seeloknya tidak dijawab kerana kebanyakannya adalah tidak logik dan tiada sebarang asas,” katanya.

Mengenai titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini bahawa sebarang suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu adalah perbuatan menderhaka kepada kaum sendiri, beliau berkata, terpulang kepada orang ramai untuk memikirkan tentang nasihat baginda itu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, laporan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bertajuk Laporan Hak-Hak Politik dan Awam 2010 yang diumumkan hari ini yang mengkritik era kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, adalah bermotifkan politik.

‘‘Jika Suaram prihatin dengan hak asasi manusia mereka tidak harus memberi tumpuan kepada Malaysia sahaja sebaliknya perlu juga mengkritik pencabulan sama di negara lain termasuk terhadap pihak yang membunuh penduduk Gaza.

‘‘Nampaknya mereka tidak berbuat demikian dan ini bermakna pandangan Suaram bukan yang terbaik.
‘‘Bagi saya mereka juga melanggar hak asasi manusia apabila tidak menghiraukan ahli politik dan negara tertentu yang turut mencabul hak asasi,” katanya.

Memartabatkan Bahasa Melayu dan Inggeris

MUHYIDDIN menandatangani plak selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan sambil diperhatikan jawatankuasa induk sekolah itu, semalam.


SABAK BERNAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedang melaksanakan program memartabatkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai persediaan sebelum kerajaan melaksanakan sepenuhnya dasar 'Memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris' (MBMMB) pada 2012.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah menyatakan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan besar dalam bidang pendidikan. Atas sebab inilah, kerajaan turut memasukkan bidang pendidikan dalam program transformasi negara. “Kerajaan tidak mahu rakyat kita mundur dalam pendidikan dan buta huruf. Jadi, sebab itu kerajaan turut memantapkan program prasekolah,” katanya ketika merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon. Seramai 3,000 hadir memeriahkan majlis itu. Muhyiddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Yoke Kuan kira-kira 500 meter dari SK Seri Sekinchan sebelum mengumumkan bantuan RM1.5 juta bagi membina bangunan baru sekolah berkenaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selepas ini kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap usaha memperkasakan sekolah vokasional.

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Agung Perwakilan Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia di Shah Alam, Muhyiddin setuju elaun penghulu dan penggawa dinaikkan sejajar khidmat diberikan mereka kepada rakyat di kawasan masing-masing. Sehubungan itu, katanya, cadangan berkenaan akan diusulkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan rundingan mengenainya dibuat. Beliau mengulas cadangan Yang Dipertua Persatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia, Zahidi Hussin dalam ucapannya pada majlis itu supaya kerajaan menaikkan elaun penghulu dan penggawa yang ketika ini menerima RM250 hingga RM350 sebulan berdasarkan gred kepada RM400 hingga RM600.

Zahidi berkata, kali terakhir elaun itu dinaikkan ialah pada 1979 iaitu RM50 dan dianggap tidak memadai dengan tugas serta kenaikan harga barangan sekarang. Muhyiddin bagaimanapun menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menyelaraskan peruntukan Ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan. “Kita ada peruntukan untuk kawasan dikuasai BN, dan kawasan tidak dikuasai BN juga disediakan peruntukan. Tapi bukan diuruskan oleh MP (Ahli Parlimen). “Parti bekerjasama dengan jabatan untuk memperuntukkan wang untuk projek kecil seperti penempatan, jalan.

Amalan ini sudah sekian lama dijalankan,” katanya. Beliau turut menolak cadangan untuk memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) dan memberi sepenuhnya tanggungjawab untuk mentadbir kampung kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Kedua-dua cadangan itu dibawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Dr Yaakob Sapari ketika berucap pada majlis itu mewakili Menteri Besar Selangor. Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin meminta penghulu dan penggawa meningkatkan prestasi dan menambah ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka memiliki daya kepimpinan luar biasa sebagai persiapan menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020

Wednesday, December 8, 2010

Persediaan PRI-13

KUALA LUMPUR: Pemuafakatan ditonjolkan 13 parti komponen sepanjang Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini memberi gambaran bahawa jentera BN sudah hampir bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Penganalisis politik, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata langkah berani BN untuk memenangi hati rakyat menerusi pendekatan inklusif membuka lembaran baru kepada parti itu menonjolkan perjuangan demi rakyat, bukannya untuk parti semata-mata.
Mengulas lima langkah transformasi yang diutarakan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Teo berkata langkah itu bakal menjadi pedoman kepada parti komponen untuk memperkukuhkan kedudukan masing-masing. “Saranan Muhyiddin supaya pemimpin parti komponen BN sedar akan cabaran yang perlu ditangani mereka kerana rakyat sudah bijak menilai baik buruk pemerintah dan mampu membuat perubahan,” katanya.
Penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Sarjit Singh, mencadangkan BN memilih calon muda, berpendidikan dan mempunyai integriti bagi mendekati rakyat untuk menghadapi PRU13. “Lebih elok jika BN memilih calon berusia lingkungan 40-an kerana jika terlalu berusia atau terlalu lama dalam arena politik, ia akan menjadi liabiliti kepada parti. “Ini kerana generasi muda sekarang tidak lagi berminat terhadap parti, sebaliknya faktor calon menjadi penentu kejayaan dalam pertandingan kelak,” katanya.
Sarjit turut mencadangkan Konvensyen BN diadakan lebih kerap kerana ia akan menjadi medan membuka minda parti komponen dan menonjolkan kekuatan BN. “Konvensyen adalah proses menzahirkan sebarang dasar dalam perjuangan parti kerana masih ada pemimpin parti yang tidak tahu akan dasar parti. “Bagaimana mereka mahu jelaskan kepada rakyat sekiranya mereka sendiri tidak faham dasar parti,” katanya

Jangan Pertikai Hak Keistimewaan Orang Melayu

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyifatkan orang Melayu yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini sebagai penderhaka kepada bangsa sendiri.
“Adalah menjadi satu penghinaan dan derhaka kepada bangsa sendiri jika perbuatan itu dilakukan orang Melayu sendiri dan lebih malang kepada agama serta bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan atau diubah faktanya.“Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka.
Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggungjawab kepada agama dan bangsa, selain memastikan wasiat itu terus dijunjung.“Umat Islam dan orang Melayu jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit kerana dibimbangi nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan dikepuk dan itik kehausan di air,” titah baginda merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.
Sultan Azlan bertitah, keistimewaan dinikmati umat Islam hari ini bukan datang dengan mudah kerana status agama Islam di negara ini mempunyai sejarah lama. “Ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan daripada akidah Islam dibina menerusi mekanisme secara perundangan bertujuan melindungi ummah daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.“Sedarilah, bahawa segala keistimewaan yang dimiliki umat Islam di negara ini adalah hasil pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan umat Islam sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan saja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara,” titahnya.
Titah baginda, keistimewaan hari ini turut diperoleh menerusi kesepakatan dan penyatuan daripada prinsip perjuangan serta suara tuntutan umat Islam dari seluruh Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan dalam Perlembagaan Negara.“Keistimewaan itu dapat dikekalkan jika ia terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salasilah langit yang sedang dijunjung,” titah baginda.
Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Anugerah Khas Maal Hijrah 1432H, masing-masing kepada Megat Riduan Megat Taib, 76, dan Allahyarham Datuk Mohd Yusop Yahya, 62.
Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru masyarakat Islam supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kehancuran ummah itu sendiri.“Justeru itu, beta amat dukacita sekiranya ada rakyat beta yang cuba menggunakan ajaran Islam untuk kepentingan diri terutama yang membuat tafsiran sendiri.“Ini termasuk mereka yang menggunakan Islam sebagai senjata untuk merosakkan umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan kekeliruan dan menimbulkan perasaan tidak selesa kepada umat Islam,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1432H Peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, semalam.Sultan Abdul Halim menyeru umat Islam supaya sentiasa memupuk semangat berkasih sayang di antara satu sama lain kerana jika sifat mulia ini hilang, musuh Islam pasti akan mengambil kesempatan untuk merosakkan umat Islam.
Di KUANTAN, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan baru-baru ini.“Saya tidak perlu memberi pandangan panjang lebar kerana sudah disentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini. Saya sokong baginda (Sultan Selangor) atas isu itu," titah baginda ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.Ditanya sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu, Sultan Ahmad Shah berkata ia terpulang kepada persetujuan lapan Raja Melayu yang terbabit.Pada majlis itu, bekas Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, 65, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Pahang.
Di KANGAR, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bimbang dengan pertelagahan di kalangan umat Islam sejak akhir-akhir ini, yang dikhuatiri menyebabkan perpaduan menjadi goyah.Justeru, baginda menyeru semua golongan berpengaruh di negara ini memainkan peranan mereka dengan bertindak sebagai pendamai dan penggerak kepada penyatuan ummah."Sebagai umat Islam, kita harus sedar akan kepentingan aspek perpaduan untuk menikmati kehidupan sejahtera, di samping memperkukuhkan lagi kedudukan agama, bangsa dan negara dalam suasana kepelbagaian kaum dan kepercayaan,” titah baginda pada Majlis Perhimpunan dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini, semalam.
Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu semua pihak menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam yang bersatu padu atas kalimah tauhid demi merealisasikan status sebagai 'khaira ummah'.Titah baginda, sudah tiba masanya umat Islam bermuhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan diamalkan ketika ini, seterusnya melakukan penghijrahan lebih baik."Kita perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar ini tidak berjaya dicapai tanpa semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan umat Islam” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan di Balai Islam di sini, malam kelmarin.Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat Nik Aziz diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1432H, manakala Ridhuan Foo Abdullah, 53, diumumkan penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita

Orang Melayu usah lupa asal usul sejarah..

ISU-ISU seperti hak istimewa Melayu, Ketuanan Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu serta kontrak sosial telah dicungkil kembali dan ada pihak tertentu menggunakan isu ini untuk mencapai objektif yang kita tidak pasti apa sebenarnya yang mereka mahukan.

Wahai kaum Melayu semua, berhentilah kita mencanang isu-isu sebegini untuk kepentingan tertentu. Jangan kita lupa peranan dan kedudukan kita pada hari ini. Sudah sekian lama orang Melayu dijajah oleh kuasa asing. Kini, sudah tiba masanya untuk kita bangun memajukan dan pada masa yang sama, mempertahankan tanah air kita daripada diceroboh anasir luar. Orang Melayu patut bersatu dan menunjukkan kita bukanlah bangsa yang suka berpecah belah.
Orang Melayu pada hari ini jangan sekali- kali melupakan sejarah apatah lagi meninggalkan sejarah dalam usaha menuju kemajuan dan kemodenan. Orang Melayu patut menjadikan sejarah lalu menjadi lebih baik pada hari ini dan masa akan datang.

Mengapa? Dalam sejarah masyarakat Melayu zaman dahulu, orang Melayu merupakan pelaut yang terkenal kerana mereka boleh meramalkan pergerakan musuh dan kapal-kapal di lautan serta mengetahui arah angin. Kerana kebijaksanaan ini beberapa buah negeri di Tanah Melayu menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dagangan dari beberapa negara luar.

Tetapi di manakah Melayu dalam bidang ini sekarang ini? Begitu juga dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang telah diserang Portugis dan Belanda. Mengapa mereka hendak menawan Melaka dan apa yang lebih penting adalah mengapa mereka dengan senang dapat menawan kota Melaka? Sebabnya kerana salah seorang pembesar Melaka pada waktu itu telah belot dengan membuka rahsia kota Melaka kepada musuh.

Peristiwa itu cukup memberikan pengajaran, bahawa orang Melayu jangan sekali-kali menjadi pengkhianat bangsa dan negara. Jangan ada antara kita kerana kepentingan tertentu menjaja masalah negara kepada negara lain dan meminta negara lain membantu menyelesaikan masalah kita.

Ingat! Budaya dan adat resam masyarakat Melayu Malaysia tidak sama dengan budaya negara lain.
Semasa negara ini dijajah oleh British, segala pahit maung telah ditelan oleh datuk nenek kita. Tetapi apa yang British sudah buat pada orang Melayu dan apa yang British pernah kata kepada orang Melayu?

Di zaman penjajahan, apabila disebut sahaja sekolah Melayu, sudah pasti kita dapat bayangkan tentang struktur, keadaan persekitaran dan bangunan sekolahnya.
Keadaan ini merupakan satu faktor mengapa pendidikan Melayu tidak maju dan terkebelakang jika dibandingkan dengan sekolah Inggeris yang didirikan kerajaan British. Selain daripada masalah bangunan, sebahagian sekolah Melayu yang ada pada waktu itu tidak mempunyai kemudahan-kemudahan yang sepatutnya di mana sebahagian besar tidak mempunyai kelas yang sistematik, bahan bacaan yang dibekalkan juga sangat sedikit yang mana sebuah buku terpaksa dikongsi oleh tiga atau empat pelajar.

Begitu juga dengan perpustakaan yang keadaannya sangat mendukacitakan. Ini mungkin disebabkan kurangnya sambutan pelajar Melayu itu sendiri dan ada kaitannya dengan kurangnya buku-buku rujukan dalam bahasa Melayu. Apa yang nyata pada waktu itu sekolah Melayu tidak diberikan kemudahan dan infrastruktur yang teratur sebagaimana sekolah Inggeris.

Itu dari segi pendidikan Melayu. Jadi, orang Melayu yang hidup pada zaman serba moden ini jangan lupa akan kerendahan pendidikan Melayu zaman dahulu. Tetapi sedarkah kita ada orang Melayu tidak menghargai kemudahan pendidikan yang ada pada hari ini. Kita lihat saja walaupun kemudahan pendidikan hari ini tidak ada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain, masih ada anak-anak Melayu ponteng sekolah, ditendang keluar universiti dan malas belajar.

Di zaman penjajahan British juga, mereka menganggap orang Melayu apa? Orang Melayu dikatakan sebagai bangsa yang malas, tidak suka bekerja di bawah orang lain, tidak produktif, tidak mahu bekerja lebih kuat, cukup sekadar untuk menampung makan dan pakai sekeluarga.
Justeru, mereka tidak memberikan peluang kepada orang Melayu untuk terlibat sama dalam sistem pemerintahan dan juga ekonomi kapitalis mereka.

Adakah bangsa Melayu hari ini masih mahu dilabel sebegitu oleh orang luar?. Cuba kita lihat apa yang berlaku hari ini? Masih ada segelintir orang Melayu yang walaupun telah diberi pelbagai kemudahan, bantuan, subsidi, dan biasiswa masih lagi menongkat dagu? Rasanya sudah sampai masanya untuk kita membuang sindrom 'subsidi' dan usahakanlah untuk membantu diri sendiri dengan bekerja lebih kuat dan gigih.

Tunjukkanlah kepada negara luar yang orang Melayu hari ini tidak lagi malas dan mampu bekerja sendiri. Dahulu kerajaan memberikan tanah kepada orang Melayu untuk diusahakan. Ini kerana orang Melayu tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa dari orang lain dan mereka sentiasa menjadi mangsa orang tengah. Atas keprihatinan ini, pihak kerajaan memberikan tanah kepada mereka melalui rancangan Felda.

Sebagai penduduk pribumi dan penduduk asal Tanah Melayu, orang Melayu diberi kuasa untuk mentadbir negara. Parti-parti yang menang akan memegang tampuk pemerintahan. Bukan itu sahaja 'pertuanan Melayu' akan tetap kekal dalam semua aspek politik, ekonomi dan sosial. Selepas itu muncul pula 'kontrak sosial' yang mengikat hubungan antara bangsa Melayu, Cina dan India. Kuasa-kuasa ini diperturunkan lagi ke peringkat bawah apabila wakil-wakil yang dipilih rakyat akan duduk di kerusi Parlimen. Begitu tinggi kuasa yang diberikan oleh rakyat. Tetapi apa yang berlaku?

Ada segelintir masyarakat Melayu yang telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik masing-masing sehingga melupakan tanggungjawab utama membantu rakyat yang telah memberikan mereka kuasa sebelum ini.

Itu adalah segelintir isu yang telah menampakkan senario-senario kealpaan masyarakat Melayu terhadap sejarah. Ingatlah perpecahan adalah bibit-bibit ke arah kemusnahan sesuatu tamadun manusia. Barangkali kita kena selidik balik faktor-faktor kejatuhan sesuatu tamadun dunia sebelum ini. Itulah pentingnya Sejarah!
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

JUARA MCA @ JUARA RAKYAT???

Dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas panjang mengenai winnable candidate. Menurut beliau, calon tersebut tidak semestinya popular di dalam parti, tetapi popular dalam kalangan rakyat. Calon seperti itu akan diberi keutamaan. Justeru, Najib memberi amaran, jangan pilih calon hanya untuk menguatkan kedudukan presiden parti, sedangkan calon itu tidak menang dalam pilihan raya.

Pepatah Melayu mengatakan, siapa makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Dalam konteks ucapan Najib itu, semua pemimpin komponen di atas pentas bertepuk tangan tanda bersetuju dengan Najib, hanya Soi Lek yang tidak senyum dan tidak bertepuk tangan. Kenapa?
Terpilihnya Dewan San Choon milik MCA sebagai tempat berlangsungnya Konvensyen BN menunjukkan kesungguhan BN untuk bermuafakat. Malangnya tanpa mengira sensitiviti pihak lain, Soi Lek meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya, tidak ada abang sulung atau adik bongsu.
Dia juga menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan 'Ketuanan Melayu' kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan. Dia turut meminta supaya sebarang polisi jangan diumum dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO.

Kalau Soi Lek berkata demikian untuk tujuan menguatkan kedudukannya dalam kalangan ahli MCA dan menjadi popular hanya di dalam partinya, maka ia sudah bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Najib. Sikap beliau tidak selari dengan presiden parti-parti komponen yang lain.
Apa yang beliau katakan itu adalah 'unnecessary.' Tidak patut dan tidak perlu. Menunjuk keberanian di hadapan penyokong atas isu yang tidak wujud, tidak berbangkit dan tidak relevan amatlah tidak wajar dan tidak bijaksana.

Apakah UMNO bersikap 'big brother' yang mendiskriminasi dan menzalimi parti-parti komponen yang lain. Sudah tentu tidak. Sebab itu UMNO sanggup mengorbankan banyak kerusi yang majoriti Melayu untuk ditandingi oleh calon dari parti komponen lain seperti MCA dan Gerakan. Lihat sahaja di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain.

Secara kebetulan kerusi yang dimenangi oleh UMNO lebih banyak, maka atas prinsip BN yang mengutamakan konsensus, permuafakatan dan rundingan, maka Presiden dan Timbalan Presiden UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Itulah yang dipersetujui sekian lama.
Tidak wujud soal buli atau abang sulung yang zalim. Semuanya atas dasar muafakat sebab itu bukan mudah untuk mengagihkan kerusi dalam kalangan parti-parti komponen yang begitu banyak.

Dan bukan mudah pula untuk mengagihkan kerusi anggota Kabinet walaupun ada parti tersebut kehilangan banyak kerusi dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 termasuk MCA.
Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor walaupun ada desakan daripada pemimpin UMNO Bahagian, kerusi itu tetap diserahkan kepada MIC dan UMNO bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Kamalanathan. Dan ini turut dibuktikan di Batu Sapi. Walaupun Timbalan Ketua PBS Batu Sapi adalah Bumiputera Islam dan kawasan itu majoriti Bumiputera Melayu, namun calon berketurunan Cina daripada PBS tetap diberi keutamaan.

Bahkan untuk menyelamatkan BN, UMNO segera melakukan transformasi parti. Bukan untuk kepentingan UMNO seorang tetapi untuk kesinambungan tradisi perjuangan BN. Walaupun program Juara Rakyat kurang dapat dokongan daripada beberapa rakan tertentu dalam BN, tetapi UMNO tidak pernah patah semangat untuk meneruskan dan menjayakannya.
Soi Lek harus melihat pendedahan Pengerusi SPR mengenai trend daftar pemilih yang mana DAP lebih agresif berbanding dengan MCA. Apakah ia berpunca kerana UMNO bersikap 'big brother'?

Mengenai Ketuanan Melayu, istilah ini timbul apabila Datuk Abdullah Ahmad bekas Ahli Parlimen Kok Lanas membentangkan kertas kerja di Singapura. Dia menyebut tentang Malay dominance yang diterjemahkan oleh media sebagai Ketuanan Melayu. Seorang penulis bukan Melayu pada tahun 2007 juga menulis mengenai 'Malay Hegemony' dan 'Malay Supremacy'. Ia turut diterjemahkan sebagai Ketuanan Melayu.

Kenapa Soi Lek mahu melihat konsep itu dalam kerangka barat yang dikaitkan dengan 'Lord and Serf' atau 'Master and Slave'. Orang Melayu melihat Ketuanan Melayu dalam kerangka pemikiran orang Melayu yang berkaitan dengan bahasa, budaya, agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu dan semuanya itu dengan jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Ia sama dengan perjuangan Soi Lek mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Bahasa Mandarin dan terbaru mengenai pengiktirafan sijil UEC. Apakah itu bukan perjuangan 'Ketuanan Cina'? Maka kenapa pemimpin seperti Soi Lek mahu mempolimikkannya. Ketuanan Melayu tidak ada kena mengena langsung dengan konsep 'supremacy' atau 'hegemony'. Soi Lek patut menyalahkan dirinya sendiri kerana terperangkap dengan konsep yang cuba diputarbelitkan oleh Anwar Ibrahim.

Ketuanan Melayu tidak menghalang pun kaum bukan Melayu berniaga, membeli tanah, termasuk hartanah. Kalau UMNO bersikap 'big brother' dan Ketuanan Melayu itu zalim, bagaimana pula orang Cina lebih dominan berbanding dengan orang Melayu dalam bidang perniagaan?

Oleh itu, di mana soal hamba dan tuan, atau 'big brother' yang arrogant yang dimaksudkan oleh Soi Lek itu? Untuk memastikan kemenangan BN, apakah keutamaan beliau. Menjadi popular hanya dalam kalangan penyokong parti atau dalam kalangan rakyat keseluruhannya? Di situlah kejayaan Najib. Beliau serius mahu rakyat didahulukan. Menjadi juara rakyat adalah keutamaan.

Sebab itu undi BN semakin meningkat di Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi. Itu tanda mereka menyokong kesungguhan Najib.
Semoga Presiden MCA itu tidak terperangkap dengan Anwar. Pada 14 April 2008 Anwar mengisytiharkan PKR menolak Ketuanan Melayu dan digantikan dengan Ketuanan Rakyat. Dulu dialah yang lantang bercakap mengenai Ketuanan Melayu. Sekarang dia mengaitkan Ketuanan Melayu dengan konsep tuan dan hamba. Dia cuba membunuh UMNO dengan cara tersebut.
Sedangkan dialah yang mempraktikkan dasar tuan dan hamba dalam PKR. Apakah Soi Lek tidak nampak itu semua?

Kukuhkan Perpaduan

Sultan Perak menitahkan supaya rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan dan mengambil iktibar dari sejarah penghijrahan Rasulallah...Wasiat Raja2 Melayu juga harus diperhalusi dan dijadikan panduan..klik di sini untuk maklumat lanjut..

Jangan Pertikai Hak Keistimewaan Orang Melayu

KUANTAN 7 Dis. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu semua pihak tidak lagi membangkitkan isu-isu berkaitan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, meskipun orang Melayu mempunyai hak keistimewaan tersendiri namun hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

"Tidak wajar perkara ini (hak orang Melayu) dibangkitkan. Dalam Perlembagaan hak-hak semua kaum telah dijelaskan termasuk kebebasan beragama.

"Semua diperuntukkan dalam Perlembagaan, orang Melayu dan bukan Melayu sudah diberi hak. Contohnya bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi atau agama Islam adalah agama rasmi tetapi penganut agama lain serta bangsa lain boleh mengguna atau mengamalkan bahasa serta agama mereka di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia Ahad lalu melahirkan rasa sedih dengan perbuatan mencuit hak orang Melayu yang kian ketara terutama di kalangan orang politik untuk mencari undi.

Polemik mengenai perkara itu muncul selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan tertinggi parti itu baru-baru ini berikrar untuk tidak meneruskan agenda Ketuanan Melayu jika pembangkang menguasai kerajaan kelak.

Sultan Ahmad dalam titahnya sebelum itu menegaskan, baginda mahu kejayaan cemerlang yang dicapai secara individu diterjemahkan menjadi kegemilangan ummah secara keseluruhannya agar ia dapat dikongsi bersama.

Titah baginda, pada masa ini, ramai individu Islam yang mencapai kejayaan secara peribadi dalam bidang pengetahuan, pembinaan dan perniagaan.
"Justeru, saya mahu melihat kejayaan secara individu itu diterjemah kan kepada kegemilangan ummah secara keseluruhannya," titahnya.

Baginda turut menyeru supaya tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 1Malaysia 1Ummah diterjemahkan ke dalam kehidupan realiti dan bukan hanya bersifat retorik semata-mata.
Tema itu juga, titah baginda, merupakan satu harapan agar semua rakyat dapat hidup dengan aman dan harmoni tanpa batasan ideologi, budaya, etnik dan agama.

"Untuk itu, saya menyeru semua pihak supaya berdiri, berfikir dan bertindak sebagai satu warga Malaysia dengan mengambil tindakan berdasarkan kepentingan semua etnik dalam negara," titah baginda.